Volume 8, Isu 1, Jun 2021
JURNAL PERTANIKA MAHAWANGSA
e-ISSN: 2805-5691
Hamsiah Juki
Universiti Putra Malaysia
Che Ibrahim Salleh
Universiti Putra Malaysia
Kata kunci: makna tersirat, teka-teki Melayu, kata, frasa, ayat, konteks ujaran
Fenomena orang Melayu suka bertutur secara tersirat merupakan salah satu seni berbahasa dari dulu hingga kini. Fenomena ini juga tergambar dalam ujaran teka-teki Melayu. Teka-teki ialah salah satu genre sastera rakyat yang bertujuan menguji kecerdasan minda berdasarkan petunjuk tertentu, yakni kata, frasa dan ayat dalam ujaran teka-teki itu sendiri. Kajian ini akan meninjau, adakah makna tersirat dalam teka-teki Melayu lahir daripada faktor leksikal, ayat atau konteks ujaran. Hal ini demikian, kerana darjah kefahaman pendengar terhadap mesej tersirat dalam teka-teki berbeza, dan pemprosesan maklumat juga tidak sama. Kaedah penyelidikan yang digunakan dalam kajian ini berbentuk kualitatif. Bahan diperoleh daripada kajian kepustakaan dan temu bual dengan responden. Sebanyak 20 teka-teki bahasa Melayu dipilih sebagai data kajian. Semua data ini dianalisis berasaskan Teori Relevans. Dapatan kajian menunjukkan bahawa makna tersirat dalam teka-teki Melayu kebanyakannya terhasil daripada faktor leksikal, ayat dan konteks ujaran yang mencorakkan budaya warisan Melayu berdasarkan kosa ilmu yang terkandung dalam teki-teki.